cinta????
Zaman remaja sememangnya zaman yang indah dan bahagia...
buat dia. Zaman di mana dia dipuja dan dipandang tinggi oleh
wanita-wanita di sekelilingnya. Dia tersenyum bangga. Berbekalkan wajah
yang sempurna, ketinggian yang mantap dan bentuk tubuh yang bisa
menambat hati gadis-gadis, dia begitu selesa dengan kehidupannya.
Hatinya kini milik seribu wanita yang bergelar 'hawa'.
Untuk
apa dia setia? Sedangkan rakan-rakannya yang lain kerap dipermainkan
wanita walaupun mereka setia. Ada yang sanggup berhabis wang ringgit
untuk teman wanita, akhirnya apabila sudah kopak, gadis tersebut
meninggalkan mereka terkontang-kanting. Dia sendiri pun apa kurangnya.
Sudah dua kali dia dicurangi makhluk yang bergelar kaum hawa itu
walaupun dia telah korbankan segala kesetiaan dan kepercayaan kepada
mereka.
Sudah dua kali juga dia menetapkan bahawa merekalah
yang bakal menjadi permaisuri hidupnya tetapi sesungguhnya semua itu
hanyalah sia-sia. Sekarang dia tersenyum puas. Puas kerana dapat
mempermainkan hati lima gadis serentak! Dania, Ida, Zurin, Rushaida dan
Lisya semuanya dia taburkan dengan janji-janji dan kasih sayang palsu.
Andai salah seorang daripada mereka tidak berpuas hati pun dia tidak
peduli. Asalkan dia bahagia melihat gadis-gadis tersebut terulit dibuai
janji kosong.
Cuaca pagi itu tenang dan damai. Burung-burung
bahagia berkicauan. 'Mungkin burung-burung tu pun bahagia sebab ramai
awek,' bisik hati kecilnya. Dia tersenyum riang. Hari ini merupakan hari
pendaftaran degree untuk pelajar junior. Jika bernasib baik, mungkin
akan adalah seorang 'awek' cun tersangkut kat dia lagi. Sedang dia
berdiri memerhati gerak-geri junior-junior yang kebanyakannya
comel-comel belaka, pandangannya terhenti kepada salah seorang gadis ayu
yang sedang duduk memerhatikan jam tangan di tepi kaunter pendaftaran
kolej kediaman. Di dalam hatinya, itulah gadis yang bakal menjadi
mangsanya seterusnya.
Jadilah 'blogstarz' dan kunjungi http://web.iluvislam.com/
untuk meralisasikannya dan dapatkan segera pakej hosting bermula
serendah RM69 setahun dan promosi diskaun 50% merdeka DOMAIN .MY
sekarang juga! Gunakan kod kupon MY50MERDEKA.
Sejak hari
pendaftaran itu, dia bersungguh-sungguh mendapatkan serba sedikit
maklumat mengenai gadis tersebut daripada rakan-rakannya dan junior.
Hatinya menjadi lebih panas apabila mendapat tahu bahawa gadis tersebut
merupakan seorang gadis yang sering mempermainkan perasaan lelaki.
Hatinya melonjak untuk mengenali gadis tersebut agar dia dapat
mempermainkan gadis tersebut pula! Dia cuba memulakan langkah untuk
berkenalan dengan gadis tersebut. Dia mengatur ayat-ayat manisnya yang
sememangnya tidak pernah gagal menjerat hati seorang gadis. Setelah
seminggu lebih menjengah khabar berita daripada rakan-rakan dan junior,
dia berjaya juga mengetahui serba sedikit tentang gadis itu.
Namanya tidaklah seglamour wajahnya. Bukan Aleesya, Aleefa atau Natasya.
Nama-nama tersebut adalah nama-nama biasa gadis-gadis cun yang
dikenalinya selama ini. Tetapi kali ini, nama gadis yang cuba
dikenalinya ini sungguh dalam maknanya. Gadis yang bernama
Halimahtussaadiyah ini berasal dari Selangor. Setelah menaburkan
ayat-ayat manis seperti biasa, tepat pada tarikh 8 Julai 2004,
termaktublah bahawa mereka secara rasmi sudah menjadi sepasang kekasih.
Allah S.W.T Yang Maha Berkuasa tahu apa yang terbaik buat
hamba-hamba-Nya. Dengan termeterainya perhubungan itu, niat yang pada
mulanya berunsur khianat telah bertukar sepenuhnya. Perkenalan itu
menjadikan mereka kenal akan erti kesetiaan, kasih sayang dan cinta.
Tiada lagi istilah playboy dan playgurl dalam diri mereka. Tiada lagi
istilah curang, khianat atau mempermainkan hati masing-masing. Dia telah
pun memohon ampun dan maaf kepada bekas-bekas kekasihnya di saat zaman
playboy nya dahulu. Hatinya kini terpaut kepada Halimahtussaadiyah
seorang dan dia tidak berniat untuk bermain-main lagi dalam percintaan.
Episod-episod bahagia telah menjengah hari-hari mereka berdua. Dia
yakin pada kata hati bahawa Halimahtussaadiyah lah yang
sebenar-sebenarnya jodoh kurniaan Allah S.W.T baginya. Mereka bagaikan
belangkas. Ke mana sahaja pasti bersama.
Tetapi lama kelamaan
perkara ini menjadi masalah buat mereka. Akibat selalu kelihatan
berdua-duaan, mereka telah dipanggil oleh jawatankuasa perwakilan
Persatuan Rohani IPTA. Ketika itu mereka tersedar bahawa mereka telah
melakukan dosa yang menghampiri fitnah dan zina. Walaupun setakat ini,
mereka masih mengawal perilaku mereka, perkara sebegini masih haram di
dalam Islam. Sedangkan ber-couple itu juga adalah haram apatah lagi
berdua-duaan. Astagfirullahalazim!
Namun mereka sudah terlalu
mencintai antara satu sama lain. Setelah berbincang dengan ibu bapa
masing-masing, mereka mengambil keputusan untuk bertunang dan bernikah.
Bukan mudah untuk meyakinkan ibu bapa pada mulanya namun, mereka tetap
bersungguh agar tidak dipisahkan. Maka, tanggal 3 September 2005, mereka
pun bertunang. Ketika majlis pertunangan dilangsungkan, kedua-dua pihak
telah bersetuju untuk memilih tarikh pernikahan pada bulan Disember
2005 iaitu pada tahun yang sama agar dapat mempercepatkan urusan membina
masjid tersebut. Selepas bertunang, mereka semakin menjaga batas
pergaulan mereka. Mereka tidak lagi kerap berjumpa kecuali jika terdapat
urusan-urusan penting yang terpaksa mereka selesaikan bersama. Namun di
dalam hati, masing-masing terasa sangat berdebar-debar menanti ketibaan
hari yang ditunggu-tunggu.
Tetapi kata orang, kita cuma mampu
merancang. Allah juga yang Maha Menentukan. Tanggal 21 September 2005,
iaitu hanya beberapa minggu selepas mereka bertunang, hadirlah suatu
peristiwa yang tidak akan pernah dia lupakan selamanya. Tarikh itulah,
tarikh dimana nyawa Halimatuhsaadiyah diragut kerana kemalangan jalan
raya di Lebuhraya Elite sebaik pulang daripada rumahnya kerana terdapat
perbincangan mengenai persiapan perkahwinan.
Halimatussaadiyah
meninggal dunia di Hospital Besar Kuala Lumpur tepat pada jam 9.30
malam itu. Kemalangan ngeri itu telah mengakibatkan gegaran otak yang
kuat dan menyebabkan pendarahan di dalam kepalanya. Dia yang turut
terlibat di dalam kemalangan tersebut hanya patah kaki dan koma selama
beberapa jam namun, oleh kerana keadaan kesihatan yang tidak
mengizinkan, dia tidak dapat hadir ke pengebumian Halimatussadiyah,
seorang gadis yang amat dia cintai.
Saat dia sedar daripada
koma, soalan pertama yang terbit dibibinya ialah di mana
Halimahtussaadiyah dan bagaimana keadaannya? Bagi mengelak kejutan yang
teruk dan atas nasihat doktor, ibu bapanya terpaksa menipu dengan
mengatakan keadaan Halimahtussaadiyah stabil dan sedang dirawat di
Hospital Besar Kuala Lumpur.
Hari ke enam pada bulan Ramadhan,
dia akhirnya dikeluarkan daripada hospital. Sepanjang berada di rumah,
dia kerap bertanyakan perihal Halimahtussaadiyah namun, ibu bapanya
hanya mampu berdiam diri kerana takut terjadi perkara yang tidak
diingini padanya. Akhirnya, ibu bapanya terpaksa meminta bantuan
daripada ibu bapa Halimahtussaadiyah untuk membantu mereka memberitahu
akan khabar berita bahawa Halimahtussaadiyah telah pun kembali ke
rahmatullah dan telahpun selamat dikebumikan.
Sebaik
mengetahui bahawa gadis yang dicintainya itu telah pun kembali pada
Tuhan yang Maha Esa, hidupnya menjadi semakin tidak keruan. Dia tidak
mahu makan, tidak mahu mandi dan asyik menghabiskan waktunya dengan
menangis dan meratapi nasib. Hidupnya seakan-akan tidak terurus lagi.
Pelajarannya ditinggalkan begitu sahaja.
Tetapi kisah dukanya
tidak hanya terhenti di situ. Setelah tiga minggu mengetahui berita
bahawa Halimatuhsaadiyah telah meninggalkannya selama-lamanya, dia
mengalami masalah hilang ingatan akibat terlalu stress dan terlalu
banyak berfikir. Ibu bapanya sudah puas menghantarnya menjalani rawatan
di hospital-hospital pakar dan bertemu dengan ustaz-ustaz yang boleh
mengubatinya namun masih tidak berhasil. Inilah ujian daripada Allah.
Mungkin Allah S.W.T hanya akan mengizinkannya untuk mendapatkan kembali
memorinya setelah dia tenang dan redha dengan pemergian
Halimatuhsaadiyah.
Alhamdulillah setelah berusaha tanpa jemu,
akhirnya pada pertengahan bulan Mac pada tahun 2008, iaitu lebih kurang
2 tahun lebih selepas kejadian tersebut, ingatan dia kembali pulih
seperti biasa. Ketika itu, dia telah redha dengan pemergian bekas
tunangnya dan berdoa agar roh Halimatuhsaadiyah ditempatkan di kalangan
orang-orang beriman..
Sekarang, dia hanya meneruskan
kehidupannya seperti biasa walau pedih untuk ditanganinya. Dia pernah
bercerita, di dalam mimpinya arwah pernah hadir dan mengucapkan
kata-kata yang telah membuatkan dia tersedar dan melaksanakan apa yang
sepatutnya dia lakukan. Di dalam mimpi tersebut, arwah telah memintanya
agar tidak berterusan bersedih hati dan terus mencapai impian
merealisasikan cita-citanya.
Ajaib bukan? Seorang playboy
bertukar menjadi seorang yang setia kerana kehendak-Nya. Seorang playboy
diuji oleh Allah untuk menghapus dosa-dosanya. Jika selama ini dia
menguji hati gadis-gadis yang dipermainkannya, kini hidupnya sarat
dengan ujian Allah yang Maha Berkuasa. Allah menjadikan sesuatu pasti
ada hikmahnya. Dipinjamkan oleh-Nya intan permata namun bisa ditarik
bila-bila yang dikehendaki-Nya.
No comments:
Post a Comment